Friday, 4 May 2018

Aku Perlukan Kau


Untuk kali ini, entah sudah berapa kali dia menjadi pemandu bagi seseorang yang sedang entah memikirkan apa sambil memandang ke luar tingkap. Menjadi pemandu menuju ke tempat yang orang sebelah dah tempah sepanjang hujung minggu ini. Tempat yang bagi orang sebelah, mampu menghilangkan segala kekusutan dalam diri.

"Esok lepas habis kerja, jalan jom." Tiba-tiba sahaja suara itu berkata sebaik sahaja dia pulang ke rumah.

"Ke mana?"

"Waterway Villa. Aku dah book."

Dan dia yang mendengar, tak mampu nak membantah sebab semuanya sudah dibayar segala perbelanjaan. Takkan nak batalkan penempahan. Membazir sahaja namanya.

Namun, satu benda yang dia tak sedar ketika itu adalah ‘percutian’ yang dia anggap satu tempoh untuk menggembirakan hati, bukan seperti yang dia jangkakan. Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, dia sangat teruja dengan tempat yang bakal mereka pergi. Dia dah bayangkan apa aktiviti yang dia akan buat dan insan itu hanya tersenyum sahaja.

Rupanya selama ini dia silap.

‘Percutian’ yang dia anggap selama ini sesuatu yang menggembirakan, adalah satu bentuk escapism yang insan itu pilih. Sepanjang mereka duduk di sana, tiada aktiviti yang menggembirakan. Cumanya, hanyalah aktiviti yang duduk di balkoni bilik sambil melihat gelapnya malam. Aktiviti duduk di bawah pondok yang tidak dipasang lampunya sambil melihat indahnya bintang-bintang berkelip di langit. Aktiviti berjalan di dalam hutan untuk melihat hijaunya pemandangan tanpa sepatah perkataan yang keluar antara mereka berdua. Mungkin, apa yang insan itu mahu bukanlah aktiviti yang menggembirakan tetapi...aktiviti yang menenangkan.

Dan kini, mereka dalam perjalanan menuju ke Villa Samadhi Kuala Lumpur yang tidak jauh dari rumah sewa mereka. Hanya setengah jam perjalanan.

"Kita dah sampai." Katanya sebaik kereta yang dinaiki mereka mula masuk ke dalam kawasan vila yang tersergam indah. Siapa sangka di tengah-tengah kesibukan kota raya Kuala Lumpur, punya tempat seindah ini. Sesuai untuk aktiviti romantis, tetapi...bukan untuk mereka.

Mereka hanyalah dua orang manusia yang duduk di rumah sewa yang sama. Dua orang insan yang entah macam mana boleh jadi rapat. Nak kata berkenalan sejak sekolah, sudah tentu tidak kerana mereka berasal dari negeri yang berbeza. Mereka hanya berkenalan sejak mereka duduk di rumah sewa yang sama. Dua orang perempuan yang cuba bertahan dalam hidup yang semakin menyesakkan.

Disebabkan hal itu juga, ada yang mengatakan mereka ini punya perasaan antara satu sama lain kerana sering pergi bercuti bersama. Hah! Persetankan mereka semua jika mereka tidak pernah mengetahui apa itu erti persahabatan yang sebenar.

"Aku tak ada orang lain nak diajak. Kalau aku ada suami, mungkin aku ajak dia. Tapi sekarang aku hanya ada kau untuk temankan aku ke mana aku pergi. Kalau kau tak sudi, aku pergi sendiri."

Itu katanya dulu di saat dia persoalkan kenapa dia yang diajak. Mengapa bukan ahli keluarganya yang lain?

Apabila dia sudah menjawab sedemikian, manakan mampu dia membiarkan sahabatnya itu pergi bersendirian. Keselamatan itu penting juga walaupun berada di tempat yang memang terkawal dengan jaga sana-sini. Bukan ancaman luar yang dia takutkan. Dia takut sahabatnya itu melakukan sesuatu di luar jangkaan.

"Aku pergi check in." Katanya sambil menyandang sebuah beg di bahu.

"Okay. Biar aku turunkan beg."

Kunci kereta bertukar tangan. Dia melangkah menuju ke kaunter yang terletak berdekatan dengan pintu masuk villa. Dia tahu yang bilik itu ditempah menggunakan nama rakannya sebab itulah dia memang sudah bersiap dengan dompet di tangan. Itulah kerjanya setiap kali mereka pergi ke mana-mana. Yang menempah bilik, rakannya. Yang check in bilik, dia. Jika ada masalah dalam check in, panggil sahaja rakannya itu selesaikan semuanya.

Malam itu, tiada apa yang mereka buat.

Seperti selalunya.

Selepas makan malam yang hanya menggunakan room service, bilik yang dihuni mereka senyap sahaja. Jarang sekali dia mahu bertanya. Jarang sekali dia mahu memulakan persoalan. Sebab dia tahu, masalah yang disimpan seseorang tak elok dia yang memaksa untuk meluahkan. Biarlah dia sendiri yang mahu meluahkan.

Dan juga sepertinya, pasti akan ada bunyi esak tangis seperti sebelum-sebelum ini. Dan dia yang berada di sebelah, hanya mampu memeluk erat bahu itu supaya dapat menyalurkan sedikit kekuatan. Tak banyak, sedikit pun jadi. Biar rakannya tahu yang dia sentiasa berada di sisi hatta apa pun yang akan datang.

Dia sendiri tak faham kenapa cara ini yang dipilih rakannya dalam meluahkan rasa. Tempah mana-mana vila. Mengenap di sana buat satu atau dua malam. Kemudian, pulang semual ke rumah sewa mereka.

"Bila kita rasa sedih, down, kita hanya memerlukan dua benda untuk kembali waras. Tempat yang tenang dan insan yang kau boleh harapkan untuk terus berada di sisi. Dan aku pilih tempat-tempat macam ni sebab aku tahu, the fares worths the calmness, the serenity."

'Dan kenapa aku?' Soalan itu hanya bergema dalam hati.

"Dan kau." Dia senyap sebelum bersuara. "Aku tak tahu nak harapkan pada siapa lagi. Semua orang sibuk dengan kehidupan sendiri. Yang ada dengan aku masa aku happy, kau. Yang ada dengan aku masa aku sedih, kau. Yang sentiasa kata ‘okay’ tiap kali aku ajak ke mana-mana, pun kau."

Dan dia tak pernah bertanya lagi. Sebab dia tahu, kewujudan seorang Hannah sangat diperlukan bagi seorang Wafa.

Tiap kali dia memikirkan betapa pentingnya diri ini bagi rakannya, dia tidak membayangkan jika salah seorang antara mereka yang akan mula berumah tangga. Umur mereka bukanlah semakin muda atau akan terus kekal muda. Jika dia yang mula melangkah dulu, siapakah yang akan terus bersama dengan rakannya di saat dia kesusahan? Jika rakannya yang mula melangkah dulu, adakah dia akan dilupakan?

Dua persoalan ini, hanya dibiarkan. Ditentukan oleh rahsia Tuhan.

Dan malam itu pun terus berlalu.

No comments:

Post a Comment