Saturday, 5 May 2018

Aku Perlukan Kau 2


Segalanya bermula apabila pada hari Sabtu itu dia mula jatuh sakit. Tekaknya rasa tak selesa. Dan dia tahu, kalau batuk dah mula menyerang, selesema akan datang. Demam pula, tunggu masa untuk dijemput.

Dan dia sungguh tak sangka dengan keadaan kesihatan dia begitu, mampu membawa ke kondisi yang lebih teruk.

Minggu itu, entah setelah berapa lama, air matanya jatuh. Tumpah deras.

Ego yang selama ini ditahan, hancur berkecai dalam sekelip mata.

Dengan hanya dua test yang perlu dia hadap minggu itu, telah membuatkan minggu itu merupakan minggu paling teruk yang dia pernah rasa sepanjang dia hidup. Dia tidak pernah menyalahkan dua test yang datang berderet itu sebab dia pernah hadapi yang lebih teruk. Namun, entahlah. Minggu itu, dia bagaikan bukan lagi berada dalam realiti. Semuanya bagaikan jadi fantasi. Bangun pagi. Pergi kelas. Pulang dari kelas. Duduk di meja belajar, tapi buat entah apa. Mood belajarnya memang benar-benar terbang hilang melayang.

Dia tak tahu nak cerita pada siapa. Dia pendam sorang-sorang, sampailah lepas habis test pertama, dia menangis dalam diam di surau fakulti. Dia cuba tahan tapi dia tewas. Terkelip-kelip matanya menahan air mata dari terus mengalir kerana surau itu penuh dengan manusia lain. Untuk mengelakkan dari diketahui orang lain, dia ambil inisiatif untuk tidur. Cuba menghilangkan segala rasa dalam jiwa.

Esoknya. Bersedia untuk test yang kedua. Dan dia tewas lagi. Minggu itu memang benar-benar menguji segala rasa dalam jiwanya. Dia sudah belajar untuk test itu tapi kepalanya kosong sebaik sahaja masuk ke dalam kelas. Salah formula. Salah guna formula. Dia hanya gelakkan diri sendiri yang bodoh. Padahal dia tak pernah buat kesalahan sedemikian rupa.

Pulang dari test yang kedua, dia tak kuat. Kali ini, memang dia mahu melepaskan semuanya. Dia menangis.

Sendirian.

Mujur juga rakan biliknya tiada. Biarlah dia seorang dalam meluahkan perasaan, dia taknak orang lain tahu keadaannya.

Dia menangis dan terus menangis. Sampailah hati rasa puas. Segala yang terpendam sepanjang hidupnya, terasa lepas. Orang lain kenal dia sebagai seorang yang tiada perasaan. Orang lain kenal dia sebagainya seorang tidak ambil kisah akan hal orang lain. Tapi satu yang orang lain tak tahu tentang diri dia adalah dia seorang pendendam. Dia tidak mahu menimbulkan rasa kurang senang orang lain terhadap dirinya. Maka, dia pendam segala rasa.

Namun, satu benda dia lupa. Manusia itu lemah. Akan ada masa yang akan jatuh dan terus jatuh.

Dan itulah fasa kehidupannya kini.

Dia menangis dan terus menangis.

Dia bersyukur dia selesema dan batuk pada minggu itu sebab tak ada orang akan persoalkan kenapa suara dia sengau dan hidung sokseksoksek. Sebab orang tahu yang dia tidak sihat.

Yup. Dia tidak sihat fizikal dan mental.

Dan akhirnya, dia paksa diri untuk berhenti menangis.

Malam itu, dia ingin meluahkan tapi tak tahu mahu meluahkan pada siapa. Dan dia mula menulis nota hati pada helaian kertas.

Dan, dia menangis semula.

 Dalam diam.

Sebab rakan sebiliknya ada dalam bilik. Dia sangat bersyukur lagi dengan selesemanya yang masih belum sembuh. Moga rakan sebiliknya percaya yang selesema itu semakin teruk hari demi hari.

Esoknya, sepanjang pagi dia memikirkan kehidupannya sepanjang minggu ini. Mujur sahaja cuti. Sempat untuk solat Dhuha.

Dan dia menangis lagi.

Entah berapa kali air matanya mengalir dalam minggu ini. Murah betul air ini. Padahal selama ini, dia akan tahan selagi mampu.

Dalam keadaan sekarang, dia baru sedar yang dia keseorangan. Melayan perasaan seorang diri. Tak ada siapa di sisi. Sahabatnya semua jauh-jauh belaka. Di luar negeri mahupun di luar negara. Yang terdekat, pasti ada urusan masing-masing yang dia tidak mahu ganggu.

Dia bukanlah mengharap sangat ada orang yang akan bertanya dia okay ataupun tidak. Dia hanya mengharapkan keberadaan seseorang untuk memeluk bahunya di saat bahunya benar-benar jatuh tiada semangat, tanpa mengatakan apa-apa.

Friday, 4 May 2018

Aku Perlukan Kau


Untuk kali ini, entah sudah berapa kali dia menjadi pemandu bagi seseorang yang sedang entah memikirkan apa sambil memandang ke luar tingkap. Menjadi pemandu menuju ke tempat yang orang sebelah dah tempah sepanjang hujung minggu ini. Tempat yang bagi orang sebelah, mampu menghilangkan segala kekusutan dalam diri.

"Esok lepas habis kerja, jalan jom." Tiba-tiba sahaja suara itu berkata sebaik sahaja dia pulang ke rumah.

"Ke mana?"

"Waterway Villa. Aku dah book."

Dan dia yang mendengar, tak mampu nak membantah sebab semuanya sudah dibayar segala perbelanjaan. Takkan nak batalkan penempahan. Membazir sahaja namanya.

Namun, satu benda yang dia tak sedar ketika itu adalah ‘percutian’ yang dia anggap satu tempoh untuk menggembirakan hati, bukan seperti yang dia jangkakan. Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, dia sangat teruja dengan tempat yang bakal mereka pergi. Dia dah bayangkan apa aktiviti yang dia akan buat dan insan itu hanya tersenyum sahaja.

Rupanya selama ini dia silap.

‘Percutian’ yang dia anggap selama ini sesuatu yang menggembirakan, adalah satu bentuk escapism yang insan itu pilih. Sepanjang mereka duduk di sana, tiada aktiviti yang menggembirakan. Cumanya, hanyalah aktiviti yang duduk di balkoni bilik sambil melihat gelapnya malam. Aktiviti duduk di bawah pondok yang tidak dipasang lampunya sambil melihat indahnya bintang-bintang berkelip di langit. Aktiviti berjalan di dalam hutan untuk melihat hijaunya pemandangan tanpa sepatah perkataan yang keluar antara mereka berdua. Mungkin, apa yang insan itu mahu bukanlah aktiviti yang menggembirakan tetapi...aktiviti yang menenangkan.

Dan kini, mereka dalam perjalanan menuju ke Villa Samadhi Kuala Lumpur yang tidak jauh dari rumah sewa mereka. Hanya setengah jam perjalanan.

"Kita dah sampai." Katanya sebaik kereta yang dinaiki mereka mula masuk ke dalam kawasan vila yang tersergam indah. Siapa sangka di tengah-tengah kesibukan kota raya Kuala Lumpur, punya tempat seindah ini. Sesuai untuk aktiviti romantis, tetapi...bukan untuk mereka.

Mereka hanyalah dua orang manusia yang duduk di rumah sewa yang sama. Dua orang insan yang entah macam mana boleh jadi rapat. Nak kata berkenalan sejak sekolah, sudah tentu tidak kerana mereka berasal dari negeri yang berbeza. Mereka hanya berkenalan sejak mereka duduk di rumah sewa yang sama. Dua orang perempuan yang cuba bertahan dalam hidup yang semakin menyesakkan.

Disebabkan hal itu juga, ada yang mengatakan mereka ini punya perasaan antara satu sama lain kerana sering pergi bercuti bersama. Hah! Persetankan mereka semua jika mereka tidak pernah mengetahui apa itu erti persahabatan yang sebenar.

"Aku tak ada orang lain nak diajak. Kalau aku ada suami, mungkin aku ajak dia. Tapi sekarang aku hanya ada kau untuk temankan aku ke mana aku pergi. Kalau kau tak sudi, aku pergi sendiri."

Itu katanya dulu di saat dia persoalkan kenapa dia yang diajak. Mengapa bukan ahli keluarganya yang lain?

Apabila dia sudah menjawab sedemikian, manakan mampu dia membiarkan sahabatnya itu pergi bersendirian. Keselamatan itu penting juga walaupun berada di tempat yang memang terkawal dengan jaga sana-sini. Bukan ancaman luar yang dia takutkan. Dia takut sahabatnya itu melakukan sesuatu di luar jangkaan.

"Aku pergi check in." Katanya sambil menyandang sebuah beg di bahu.

"Okay. Biar aku turunkan beg."

Kunci kereta bertukar tangan. Dia melangkah menuju ke kaunter yang terletak berdekatan dengan pintu masuk villa. Dia tahu yang bilik itu ditempah menggunakan nama rakannya sebab itulah dia memang sudah bersiap dengan dompet di tangan. Itulah kerjanya setiap kali mereka pergi ke mana-mana. Yang menempah bilik, rakannya. Yang check in bilik, dia. Jika ada masalah dalam check in, panggil sahaja rakannya itu selesaikan semuanya.

Malam itu, tiada apa yang mereka buat.

Seperti selalunya.

Selepas makan malam yang hanya menggunakan room service, bilik yang dihuni mereka senyap sahaja. Jarang sekali dia mahu bertanya. Jarang sekali dia mahu memulakan persoalan. Sebab dia tahu, masalah yang disimpan seseorang tak elok dia yang memaksa untuk meluahkan. Biarlah dia sendiri yang mahu meluahkan.

Dan juga sepertinya, pasti akan ada bunyi esak tangis seperti sebelum-sebelum ini. Dan dia yang berada di sebelah, hanya mampu memeluk erat bahu itu supaya dapat menyalurkan sedikit kekuatan. Tak banyak, sedikit pun jadi. Biar rakannya tahu yang dia sentiasa berada di sisi hatta apa pun yang akan datang.

Dia sendiri tak faham kenapa cara ini yang dipilih rakannya dalam meluahkan rasa. Tempah mana-mana vila. Mengenap di sana buat satu atau dua malam. Kemudian, pulang semual ke rumah sewa mereka.

"Bila kita rasa sedih, down, kita hanya memerlukan dua benda untuk kembali waras. Tempat yang tenang dan insan yang kau boleh harapkan untuk terus berada di sisi. Dan aku pilih tempat-tempat macam ni sebab aku tahu, the fares worths the calmness, the serenity."

'Dan kenapa aku?' Soalan itu hanya bergema dalam hati.

"Dan kau." Dia senyap sebelum bersuara. "Aku tak tahu nak harapkan pada siapa lagi. Semua orang sibuk dengan kehidupan sendiri. Yang ada dengan aku masa aku happy, kau. Yang ada dengan aku masa aku sedih, kau. Yang sentiasa kata ‘okay’ tiap kali aku ajak ke mana-mana, pun kau."

Dan dia tak pernah bertanya lagi. Sebab dia tahu, kewujudan seorang Hannah sangat diperlukan bagi seorang Wafa.

Tiap kali dia memikirkan betapa pentingnya diri ini bagi rakannya, dia tidak membayangkan jika salah seorang antara mereka yang akan mula berumah tangga. Umur mereka bukanlah semakin muda atau akan terus kekal muda. Jika dia yang mula melangkah dulu, siapakah yang akan terus bersama dengan rakannya di saat dia kesusahan? Jika rakannya yang mula melangkah dulu, adakah dia akan dilupakan?

Dua persoalan ini, hanya dibiarkan. Ditentukan oleh rahsia Tuhan.

Dan malam itu pun terus berlalu.